Sabtu, 8 Januari 2011

Khulafa' Ar-Rasyidin


Khulafa’ ar-Rasyidin

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq(570-634M)
Abu Bakar as-Siddiq merupakan khalifah islam pertama selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. Nama sebenar beliau adalah Abdul Kaabah Bin Usman. Bapanya lebih dikenali sebagai Abu Quhafah daripada Bani Tamim. Ibunya bernama Salma Binti Shakhar atau lebih dikenali sebagai Ummu Khair bererti ibu yang baik. Beliau digelar as-Siddiq kerana sentiasa membenarkan apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
  Abu Bakar tidak pernah meminum arak dan tidak pernah menyukai adat-adat masyarakat jahiliah yang ada disekelilingnya. Beliau seorang saudagar yang terkenal dan kaya. Beliau seorang yang terpelajar serta dipandang tinggi oleh masyarakat Quraisy. Selepas Nabi Muhammad S.A.W menjadi rasul, beliau lelaki dewasa pertama yang memeluk islam.Abu Bakar as-Siddiq dilantik menjadi khalifah islam yang pertama selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W pada 632H. Beliau memerintah selama dua tahun tiga bulan sepuluh hari dan meninggal dunia pada 634M akibat demam.
  Jasa Khalifah Abu Bakar as-Siddiq
Menyelesaikan masalah perlantikan khalifah.
  Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, sebahagian besar golongan Ansar berkumpul di sebuah dewan bernama Saqifah Bani Saidah untuk melantik ketua bagi kaum muslimin. Mereka melantik Saad Bin Ubadah sebagai pengganti Nabi. Berita perlantikan Saad Bin Ubadah itu sampai kepengetahuan Ikramah dan Umar al-Khattab. Mereka melaporkan perkara tersebut kepada Abu Bakar as-Siddiq. Abu Bakar berasa serba salah hendak pergi ke dewan tersebut kerana sedang sibuk menguruskan jenazah Rasulullah S.A.W, namun setelah dipujuk oleh Umar al-Khattab beliau mengalah.
  Sekumpulan Muhajirin yang mendengar berita tentang pelantikan Saad Bin Ubadah berasa tersinggung dengan tindakan orang Ansar yang tidak menjemput mereka ke mensyuarat tersebut. Mereka berkumpul dan sudah bersedia hendak berarak beramai-ramai ke dewan Saqifah Bani Saidah. Abu Bakar menghalang mereka kerana bimbang akan terjadi perbalahan yang lebih teruk. Beliau meminta mereka menunggu sehingga beliau dan para sahabat pulang.
  Apabila sampai di Saqifah Bani Saidah, Abu Bakar dan para sahabatnya disambut baik oleh kabilah Khazraj. Abu Bakar, Umar al-Khattab, Abu Ubaidah dan Ikramah mendengar kata-kata mereka untuk mengetahui keputusan yang telah dibuat oleh mereka. Golongan Ansar nampaknya sangat bersungguh-sungguh mahukan pemimpin kaum muslimin dari kalangan mereka. Lalu Abu Bakar bangun dan memberikan hujah dan alasan yang sebaik-baiknya mengapa pengganti nabi mestilah daripada kalangan Muhajirin. Menurutnya orang Muhajirin yang terlebih dahulu menerima islam dan beriman kepada Allah dan menjadi pengikut Rasulullah. Merekalah yang pertama menanggung seksa daripada kaum musyrikin Mekah. Pemilihan ketua daripada golongan Ansar berkemungkinan mencetuskan perselisihan lama antara suku Aus dan Khazraj. Tambahan pula kabilah-kabilah arab tidak menerima puak lain selain daripada kabilah Quraisy sebagai pemimpin Tanah Arab. Hujahnya telah menyedarkan golongan Ansar tentang kepentingan pemilihan ketua kaum  muslimin daripada golongan Muhajirin. Abu Bakar telah mencadangkan Umar al-Khattab atau Abu Ubaidah al-Jarrah sebagai calon khalifah. Namun Abu Ubaidah al-Jarrah bangun lalu mencadangkan Abu Bakar as-Siddiq supaya menjadi khalifah. Akhirnya cadangan Abu Ubaidah al-Jarrah mendapat sokongan ramai dan Abu Bakar as-Siddiq menjadi khalifah islam yang pertama.
  Melalui cara ini krisis perlantikan khalifah dapat diatasi sebaik-baiknya. Ia berjaya menghindari umat islam daripada perpecahan yang amat membahayakan.
  Diantara ucapan dasar Khalifah Abu Bakar as-Siddiq ialah:
  “Wahai saudara, saya telah dilantik menjadi khalifah untuk mengandalikan urusan kamu, sedangkan saya bukanlah yang terbaik dari kalangan kamu. Maka sekiranya saya menjalankan tugas dengan baik, ikutilah saya, tetapi jika saya membuat salah, betulkanlah. Orang yang kamu pandang kuat saya pandang lemah sehingga saya dapat mengambil hak orang daripadanya. Sedangkan orang yang kamu pandang lemah, saya pandang kuat sehingga saya dapat mengembalikan haknya kepadanya. Hendaklah kamu taat kepadaku selama saya taat kepada Allah dan rasul-Nya. Tetapi bila saya tidak mentaati Allah dan rasul-Nya lagi, tak perlulah kamu taat kepadaku lagi.”
  Ketika pemilihan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Ali Bin Abi Talib berada bersama keluarga Rasulullah S.A.W. di rumah Fatimah  sehingga selesai pengebumian jenazah Rasulullah S.A.W, oleh itu, beliau merasakan bahawa kedudukan dan haknya dalam soal pemilihan sebagai khalifah telah diketepikan. Beliau hanya melafazkan taat setia kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddiq selepas kematian Fatimah Binti Muhammad.
Meneruskan gerakan tentera Usamah Bin Zaid.
  Khalifah Abu Bakar as-Siddiq telah meneruskan gerakan tentera Usamah Bin Zaid yang telah dibentuk oleh Rasulullah S.A.W sebelum baginda wafat bagi menentang penduduk daerah Ghassan yang telah membunuh beberapa orang utusan nabi. Apabila Abu Bakar dilantik menjadi Khalifah beliau menghadapi masalah samaada hendak meneruskan atau membubarkan sahaja gerakan tentera Usamah Bin Zaid. Ada yang berpendapat ia perlu dibatalkan sahaja kerana Mekah dan Madinah sendiri menghadapi ancaman daripada kaum Absy dan Zubyan. Tambahan pula Usamah Bin Zain masih dalam belasan tahun.
  Khalifah Abu Bakar as-Siddiq pernah berkata:
  “Demi Tuhan yang jiwa Abu Bakar di dalam genggaman-Nya, walaupun aku tahu bahawa singa akan datang menerkam dan mengoyak-ngoyakkan tubuhku namun perjalanan tentera yang telah diatur oleh Rasulullah S.A.W sendiri tidak akan kutunda keberangkatannya.”
  Sebelum tentera Usamah Bin Zaid berangkat, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq berpesan kepada tentera islam:
  “Wahai sekelian tentera Islam, kamu akan berangkat ke medan jihad. Saya mahu berpesan kepada kamu dan jangan kamu lupa pesanan saya ini. Jangan kamu khianat, jangan kamu mencuri harta rampasan perang, jangan kamu meninggalkan medan perang, jangan kamu membunuh anak kecil, orang tua dan wanita. Jangan kamu memrosakkan tanaman melainkan untuk dimakan, jangan kamu menebang pokok yang sedang berbuah dan jangan kamu membakar ladang tanaman, dan jangan kamu membunuh mereka yang sedang berlindung dalam rumah mereka dan mereka yang sedang berada dalam tempat ibadat mereka.”
  Tentera Usamah mencapai kemenangan dalam tempoh 40 hari. Kemenangan keatas wilayah kekuasaan Rom ini memberikan kesan politik yang penting kepada Negara Islam. Ia menyedarkan kaum-kaum lain yang ingin menyerang Madinah bahawa kekuatan Negara Islam tidak mudah digugat atau diugut.
  Melalui langkah-langkah ini Khalifah Abu Bakar as-Siddiq telah menyelesaikan masalah perselisihan pendapat tentang pasukan tentera Usamah Bin Zaid dan menjauhkan ancaman musuh serta mengukuhkan kedudukan Negara Islam.
  Menentang gerakan ar-Riddah